Obesiti, Lemak dan Kolesterol 1

Saturday, June 11, 2011 11:12
Pos Dalam Kategori Cara Kuruskan Badan

Kita diberitahu bahawa diet rendah lemak dan rendah kolesterol akan membuat kita sihat dan membantu menurunkan berat badan. Justeru ramai di antara kita yang tidak mengambil makanan berlemak dan berkolesterol tinggi. Namun ada kemungkinan kita mengamalkan diet cara yang salah. Daripada menjauhkan lemak sepenuhnya, kita seharusnya menjauhkan “lemak tidak baik atau jahat,” lemak yang dikaitkan dengan obesiti dan penyakit jantung dan mengambil “lemak baik,” lemak yang membantu memperbaiki tahap kolesterol dalam darah. Sebelum bercerita tentang lemak baik dan lemak jahat, elok kita berbicara tentang kolesterol dahulu.

Kolesterol – Sudah tertanam dalam benak kita bahawa kolesterol menyebabkan penyakit jantung dan kita harus menyekat pengambilan makanan yang mengandunginya, tetapi kolesterol dalam makanan berbeza dari kolesterol dalam darah. Kolesterol berasal dari dua sumber. Pertama – daripada makanan seperti daging, telur, dan makanan laut. Kedua – dari tubuh kita, hati kita mengeluarkan bahan ini dan menyambungkan ke protein pembawa yang dipanggil lipoprotein. Lipoprotein melarutkan kolesterol dalam darah dan membawanya ke seluruh bahagian tubuh. Tubuh kita memerlukan kolesterol untuk membantu membentuk membran sel, beberapa hormon, dan vitamin D.

Anda mungkin pernah mendengar tentang kolesterol “baik” dan “tidak baik atau jahat”. Lipoprotein Ketumpatan Tinggi (HDL) membawa kolesterol dari darah ke hati. Hati memproses kolesterol untuk dikeluarkan dari tubuh. Jika ada HDL dalam darah, akan berkurangan kolesterol yang tersimpan di dalam arteri koronari. Itu sebabnya ia dipanggil kolesterol “baik”. Liporotein Ketumpatan Rendah (LDL), membawa kolesterol dari hati ke seluruh tubuh. Apabila terdapat terlalu banyak LDL dalam tubuh, ia akan tersimpan di dalam arteri koronari. Ini tidak baik. Penumpukan kolesterol dalam arteri kita akan menghalang darah dari mengalir ke jantung. Ini bermakna jantung kita tidak mendapat oksigen dan nutrien yang diperlukan, yang boleh menyebabkan serangan jantung, strok, atau kematian mengejut. Justeru jika LDL anda lebih tinggi daripada HDL, anda mempunyai risiko yang lebih besar untuk mendapat penyakit jantung.

Ini mungkin mengejutkan, namun kajian terkini menunjukkan bahawa jumlah kolesterol dalam makanan kita tidak begitu mempengaruhi kadar kolesterol darah kita. Sebenarnya jenis lemak yang di makan mempengaruhi kadar kolesterol darah kita.

Kita akan sambung bicara tentang lemak di tulisan akan datang (Bahagian 2).

Kongsi melalui:
  • Facebook
  • Twitter
  • Technorati
  • StumbleUpon
  • Digg
  • del.icio.us
  • Google Bookmarks
  • LinkedIn
  • Yahoo! Bookmarks
You can leave a response, or trackback from your own site.

Komen Anda: