Tubuh Coklat

Sunday, May 13, 2012 13:14
Pos Dalam Kategori Berita

Mengikut satu kajian yang dijalankan di USA baru-baru ini, orang sihat yang bersenam dan juga kerap memakan coklat, lebih cenderung untuk mempunyai indeks jisim tubuh (BMI) yang lebih rendah daripada meraka yang jarang memakannya.

Kaji selidik ke atas lebih daripada 1,000 penduduk dewasa, yang diterbitkan sebagai laporan penyelidikan di Arkib Perubatan Dalaman, mengukuhkan lagi tanggapan bahawa coklat padat dengan manfaat untuk jantung yang sihat, walaupun mempunyai kalori dan kandungan gula yang tinggi.

Peserta dalam kajian tersebut, yang berusia antara 20 hingga 85, dilaporkan memakan coklat purata dua kali seminggu, dan melakukan senaman sebanyak purata 3.6 kali seminggu.

Mereka yang mengatakan mereka makan coklat lebih kerap daripada kebiasaan cenderung untuk mempunyai BMI atau nisbah berat badan berbanding ketinggian yang lebih rendah; pengiraan yang dibuat dengan membahagikan berat seseorang dengan ketinggian dikali dua.

BMI yang normal biasanya antara 18.5 hingga 24,9, mereka yang BMInya lebih rendah dianggap sebagai kekurangan berat badan, dan mereka yang 25 ke atas dianggap mempunyai berat badan yang berlebihan.

“Orang dewasa yang memakan coklat lebih kerap mempunyai BMI yang lebih rendah daripada mereka yang kurang memakan coklat,” kata kajian yang diketuai oleh Beatrice Golomb dan rakan-rakan di Universiti California, San Diego.

“Penemuan kami – pengambilan coklat yang lebih kerap dikaitkan dengan BMI yang rendah – adalah menakjubkan,” tambahnya dan menyeru dijalankan penyelidikan yang lebih terperinci, atau pun satu percubaan klinikal rawak ke atas faedah metabolik coklat.

Memandangkan penyelidikan tidak mengkaji had pengambilan yang munasabah atau memberi manfaat, para pakar menggesa kesederhanaan dalam memakan coklat.

“Sebelum anda mula makan satu bar coklat sehari untuk menjauhkan doktor, ingat bahawa bar coklat boleh mengandungi lebih daripada 200 kalori, yang kebanyakannya datang daripada lemak tepu dan gula,” kata Nancy Copperman, pengarah Inisiatif Kesihatan Awam di North Shore-Long Island Jewish Health System, New York.

“Pertimbangkan untuk menghadkan pengambilan coklat kepada 1 auns (28gm) coklat gelap, atau menambah serbuk koko, yang sangat rendah lemak, sekali sehari ke dalam makanan anda,” kata Copperman, yang tidak terlibat dalam kajian tersebut.

Manfaat coklat berpunca dari antioksidan polifenol, yang boleh menambahbaik tekanan darah, dan juga membantu mengurangkan paras kolesterol dan gula dalam darah. Kajian-kajian lain mengaitkan coklat dengan risiko kematian akibat serangan jantung yang lebih rendah.

Keupayaan ganjil coklat memperbaiki kesihatan jantung biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada gaya hidup yang termasuk bersenam dan kesederhanaan dalam pemakanan, menurut Suzanne Steinbaum, pengarah penyakit wanita dan jantung di Lenox Hill Hospital New York, juga yang tidak terlibat dalam kajian tersebut.

“Kita telah melihat manfaat coklat dalam pelbagai kajian, dan sekali lagi, kita lihatnya sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat secara keseluruhan, coklat tidak menambah kepada pertambahan berat badan, tetapi hakikatnya, mungkin membantu mengawalnya,” kata beliau. – AFP

Kongsi melalui:
  • Facebook
  • Twitter
  • Technorati
  • StumbleUpon
  • Digg
  • del.icio.us
  • Google Bookmarks
  • LinkedIn
  • Yahoo! Bookmarks
You can leave a response, or trackback from your own site.
Tags:

Komen Anda: